;

Sunday, March 1, 2009

Ikan Haruan

Pengenalan
Haruan atau nama saintifiknya Channa Striata adalah antara ikan yang paling digemari oleh pemancing di Malaysia. Haruan juga dikenali didalam bahasa Inggeris sebagai Common Snakehead, Striped Snakehead dan Chevron Snakehead. Haruan juga dipanggil toman paya (Malaysia), pla chorn (Thailand), gabus (Kepulauan Jawa), delak (Kalimantan) dan murrel (India). Haruan juga bersaudara dengan toman, bujuk, toman bunga, haruan palas dan keluarga snakehead (Channidae) yang lain. Channa Striata adalah ikan asal (native) di Pakistan, India, Selatan Nepal, Sri Lanka, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Cambodia, Selatan China, Malaysia, Sumatra, Borneo, Sabah, Jawa Barat, Vietnam dan Laos. Haruan juga adalah spesies yang diperkenalkan (introduced species) di Filipina, Madagascar, Sulawesi, Mauritius, New Caledonia dan Hawaii.

Habitat
Di Malaysia, haruan boleh dijumpai di sungai, tasik, paya, sawah padi, lombong dan juga parit/taliair ditepi jalan (Mohsin dan Ambak, 1983; Lee dan Ng, 1991). Ng and Lim (1990) menyenaraikan bahwa pada kawasan yang terbuka, haruan adalah snakehead utama didalam kawasan yang cetek (1 meter atau kurang) yang dipenuhi dengan rumpai/lumut/ tumbuhan air. Lee and Ng (1991) juga melaporkan bahawa haruan adalah spesies yang paling mudah menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran termasuk keadaan air yang berkualiti rendah dan mampu bergerak di darat.

Antara habitat yang dihuni oleh haruan
Haruan juga adalah ikan yang boleh bernafas secara terus dengan udara, selain daripada menggunakan insang, yang juga dipanggil sistem pernafasan bimodal. Apabila kandungan oksigen yang diambil melalui insang dan kulit menjadi kurang, haruan akan timbul dipermukaan untuk mendapatkan oksigen daripada udara, sama seperti keluarga snakehead yang lain. Haruan boleh hidup di dalam air yang pada kadar pH 4.25 hingga 9.40.
Kepentingan perubatan dan komersil
Haruan adalah salah satu ikan air tawar yang dijadikan makanan di kebanyakan tempat di Asia Tenggara. Adalah dipercayai bahawa haruan berkhasiat menyembuhkan luka-luka terutama selepas pembedahan dan bersalin. Kajian telah dilakukan di Jabatan Sains Bio Perubatan, Universiti Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor menunjukkan bahawa kesan antinociceptive yang dihasilkan dari daging dan lendir ikan haruan mengalakkan aktiviti komponen antinociceptive yang lain bagi mempercepatkan pernyembuhan (rujuk: Journal of Ethopharmacology, July 1997; 57 (2):125-130; August 1999; 66(2):161-166). Krim yang dihasilkan daripada tisu daging haruan juga mengandungi asid arachinodic yang tinggi, asid amino yang penting dan asid lemak tidak tepu yang menggalakan sintesis gentian collagen untuk menyembuhkan luka, sama seperti Centrimide iaitu bahan antiseptik yang berasaskan ammonium. (Baie and Sheikh, 2000)

No comments:

Post a Comment